Tuesday, February 23, 2010

Selamat menyambut Maulidur Rasul 1431H


Saban tahun kita menyambut hari kelahiran junjungan kita yang dikasihi iaitu Nabi Muhammad SAW. Alhamdulillah, sekali lagi pada tahun ini kita dipanjangkan usia, maka dapatlah kita menyambut dan memperingati semula perjuangan Nabi kita tercinta. Selamat menyambut Maulidur Rasul 1431H kepada semua warga TIGS khususnya dan seluruh umat Islam diserata dunia.


Menyambut Maulidur Rasul bermakna kita harus iltizam untuk terus menjunjung sunnah baginda SAW dalam segenap dimensi kehidupan kita. Kita wajib memasak pancang jihad ,dakwah dan tarbiyyah yang ditinggalkan baginda untuk diwariskan kepada generasi selanjutnya. Ia juga bererti kita wajib menjadi mata rantai risalah baginda yang berkesinambungan serta membawa obor tajdid dan taghyir yang dipelopori baginda.

Kita kenangkan saat-saat sebelum kelahiran dan kebangkitan baginda SAW, ketika dunia dihinggapi virus jahiliyyah, ketika kuasa didominasi para perakus dan penguasa yang zalim, ketika umat ibarat buih yang terhempas di lautan, ketika masyarakat sarat dengan kebejatan social. Ketika itulah allah mengutuskan baginda sebagai penyelamat dan agen perubah umat.Rasulullah SAW menjadi cahaya ke seluruh alam, petunjuk sepanjang jalan dan pemimpin ke jalan yang lurus. Menerusi proses tilawah, tazkiyah dan ta’lim, baginda telah memulakan satu gerakan perubahan umat.

Marilah kita menggali semula jejak dakwah dan tarbiyah baginda SAW dalam mengasaskan satu binaan Islam. Mari kita sematkan sejarah keagungan baginda dalam benak jiwa dan fikiran kita. Jangan kita menjadi penderhaka kepada baginda SAW dengan hanya sekadar berarak, berselawat dan bersepanduk tetapi kita mencerca dan mengabaikan sunnah baginda terutama sunnah kubra iaitu berdakwah dan berjihad untuk mengembalikan ketuanan Islam di muka bumi ini.

ISMA (Ikatan Muslimin Malaysia) amat yakin bahawa dengan kita meneladani sisi-sisi kehidupan baginda dan mengimplimentasikannya di dalam kehidupan, kita mendekatkan julat keagungan dan kejayaan yang telah ditempa baginda ar-Rasul SAW.

Semoga kehadiran Maulidur Rasul 2010 menambahkan kecintaan dan kerinduan kita pada baginda sekaligus memotivasikan kita untuk sederap melangkah ke hadapan bagi menakhodai bahtera perubahan ini. Biar jasad baginda jauh dari mata kita namun jihad,dakwah,tarbiyah serta sosok baginda dekat disanubari kita.

0 comments: